suria

Lelaki ditahan sorok dadah dalam seluar dalam

KUALA LUMPUR: Taktik seorang pengedar dadah menyembunyikan sejumlah bahan terlarang itu di dalam seluar dalam yang dipakainya memakan dirinya apabila lelaki itu ditahan sepasukan polis ketika sedang asyik menunggu pelanggan di Jalan Kuchai Lama di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki berusia 30 tahun itu dicekup sepasukan polis di luar sebuah premis dobi pada 4 Julai lepas kira-kira pukul 7.30 malam, selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui sebungkus surat khabar berisi 30 paket dadah jenis Heroin seberat 50 gram disorokkan di dalam seluar dalamnya. Suspek ketika itu dipercayai sedang menunggu pelanggannya.

"Kita percaya suspek yang sudah aktif kirakira tiga bulan ini dan bekerja sebagai penghantar cepat (despatch) datang dari kawasan lain memandangkan dia menetap di Flat Sri Johor, Cheras sebelum datang ke sini untuk mengedar dadah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata sepaket dadah berkenaan dijual dengan harga RM50. Suspek itu turut mempunyai empat rekod jenayah termasuk kesalahan mencuri dan dadah.

Sementara itu, pada 7 Julai lalu, lima lelaki yang juga pengedar dadah diberkas di dalam rumah sewa mereka di Jalan Pantai Dalam, Taman Angkasapuri kira-kira pukul 8.30 malam.

Ahmad Amir berkata hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui satu tin arak berwarna perak yang berisi plastik lutsinar yang mengandungi daun ganja seberat 25 gram dan sebuah beg berwarna hijau yang terdapat tiga bungkusan plastik lutsinar berisi ganja seberat 720 gram.

"Kelima-lima mereka yang berusia di antara 19 hingga 30 tahun didapati aktif mengedar dadah sejak dua bulan yang lalu. Empat di antara mereka juga positif ganja.

"Nilai rampasan ganja itu hampir mencecah RM2,000. Kita turut menemui dua pedang samurai di dalam rumah itu," katanya. Katanya, hasil semakan mendapati dua dari mereka mempunyai rekod jenayah lampau antaranya membabitkan dadah.

Dalam pada itu, polis menahan dua lelaki berusia 23 tahun yang berlegar-legar dengan sebuah motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 4.20 pagi hari ini.

"Ketika sepasukan polis menjalankan operasi cegah jenayah, mereka terserempak dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. Polis kemudiannya menghampiri mereka sebelum seorang dari mereka mengacukan parang sepanjang 90 sentimeter.

"Namun mereka akhirnya akur menyerah diri ketika diminta meletakkan senjata tersebut.

Ketika itu mereka sedang berlegar-legar di stesen minyak. Kami percaya mereka sedang dalam proses untuk menyamun tetapi kita akan siasat sama ada stesen minyak itu merupakan sasaran mereka," kata Ahmad Amir. Katanya, kedua-dua mereka tiada rekod jenayah lampau. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain