suria

Hampir RM5 bilion peruntukan tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau memberitahu Dewan Negara hari ini bahawa kementerian sentiasa memberi latihan kepada guru mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu kepada murid sekolah.

"Kita akan menggunakan pelbagai modul seperti mendengar dan bercakap, modul penulisan, dan modul seni bahasa yang akan menekankan tatabahasa. Kita akan betulkan penguasaan Bahasa Inggeris bukan setakat boleh bertutur tetapi menggunakannya dengan betul," katanya menjawab soalan Senator Datuk Samsiah Samsudin.

Mohd Puad berkata kerajaan juga bercadang untuk mengambil sejumlah 13,933 guru Bahasa Inggeris sebagai satu daripada usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid.

Menjawab soalan Senator Zaitun Mat mengenai jumlah guru pakar dalam Bahasa Inggeris yang disediakan kementerian di sekolah luar bandar, Mohd Puad berkata sehingga 9 Julai ini, terdapat 9,293 guru cemerlang dalam pelbagai gred jawatan dan bidang kepakaran.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 954 orang guru adalah guru cemerlang Bahasa Inggeris dan 622 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 332 orang guru di sekolah rendah di seluruh negara sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya.

Beliau berkata kementerian berusaha memastikan khidmat kepakaran guruguru itu tidak tertumpu di satusatu sekolah atau kawasan sahaja tetapi diagihkan kepada semua sekolah.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain