suria

PPSMI: Gapena mahu pemansuhan keperingkat Tingkatan Enam dan matrikulasi

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menganggap hanya sebahagian daripada perjuangan mereka supaya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang selesai memandangkan dasar itu masih dilaksanakan di di peringkat Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, Gapena akan terus berjuang supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dikembalikan ke Bahasa Melayu di semua peringkat.

Beliau berkata, akan wujud persepsi yang bahasa Inggeris itu lebih baik sekiranya pelajar Tingkatan Enam yang mengambil jurusan sains belajar dalam bahasa itu dan yang mengambil jurusan sastera belajar dalam bahasa Melayu.

"Kami mahu bahasa Melayu juga dijadikan bahasa ilmu pengetahuan seperti mana juga bahasa lain," katanya kepada sidang media hari ini.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Selain itu, Gapena menuntut supaya penguasaan bahasa Melayu dipertingkatkan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Sementara itu, Ketua Dua Gapena, Profesor Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, terdapat universiti yang menggunakan bahasa Inggeris dalam proses pembelajaran jurusan sastera.

"Kita selalu mengada-ngada... ada universiti yang sudah pandai-pandai ajar matapelajaran dalam jurusan sastera dalam bahasa Inggeris.

"Bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa pendidik dan bahasa penyatuan," katanya.

Bagaimanapun, Gapena menyatakan rasa puas hati dan bersyukur terhadap pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin berhubung pemansuhan PPSMI.

"Kami sangat gembira dengan apa yang diumum oleh Timbalan Perdana Menteri sebentar tadi... kami ucap tahniah kerana apa yang diumumkan itu sangat realistik," kata Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein.

Menurut beliau, Gapena akan sedaya upaya membantu kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa yang sama menpertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

"Kami ikrar untuk beri kerjasama supaya penguasaan kedua-dua bahasa dipertingkatkan.

"Kami bersedia membantu untuk memantapkan penggunaan bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa yang penting tetapi semua polisi yang dibuat mestilah adil kepada penduduk bandar dan luar bandar," katanya lagi.

Artikel Lain