Pemansuhan PPSMI jejas masa depan anak-anak - Dr Mahathir - Semasa | mStar

Pemansuhan PPSMI jejas masa depan anak-anak - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjejas masa depan anak-anak, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan perdana menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan.

"Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran berkuatkuasa 2012 di sekolah-sekolah kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengumumkan bahawa berikutan keputussan itu, subjek sains dan matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia.

Muhyiddin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada langkah memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Dr Mahathir berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu tidak akan menyentuh PPSMI berikutan subjek sains dan matematik tidak mempunyai sebarang pertalian dengan pembelajaran bahasa.

"Kata mereka ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, tapi di sekolah Cina, mereka guna Bahasa Mandarin dan di sekolah Tamil mereka guna Bahasa Tamil. Lagipun kita tak boleh belajar bahasa melalui sains dan matematik. Bahasa mempunyai subjeknya sendiri," katanya.

Dr Mahathir dalam sidang akhbar yang sama turut menafikan bahawa beliau bersetuju dan menerima hakikat pemansuhan dasar tersebut, sekaligus bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin sewaktu mengumumkan perkara berkenaan tengah hari tadi.

"Kerajaan sudah buat keputusan. Saya cuma diberi taklimat, saya cuba beri cadangan, minta kalau tak boleh dibuat semasa sekolah rendah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah, tapi mereka tolak dan tak terima. Jadi itu bukan consultation, tapi cuma taklimat," katanya.

Semasa mengumumkan perkara itu, Muhyiddin berkata Dr Mahathir umumnya menerima hakikat mengenai perlunya dasar itu diubah.

Katanya, beliau dan pegawai kanan kementerian itu telah berbincang lebih tiga jam dengan Dr Mahathir bagi menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar, dan antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan.

"Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini," kata Muhyiddin. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain