suria

Pasangan warga emas dan anak dikurung penyamun bersenjatakan parang

KUANTAN: Tiga lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan parang merompak sepasang suami isteri warga emas dan dua anak perempuan mereka barang kemas dan telefon bimbit bernilai kira-kira RM3,000 dalam kejadian di Kampung Sentosa, dekat Maran semalam. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, pasangan berusia 55 dan 70 tahun itu bersama dua anak perempuan berusia 17 dan 20 tahun sedang nyenyak tidur sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng. Beliau berkata kumpulan itu memasuki rumah berkenaan dengan mencungkil pintu di bahagian dapur. Sebelum melarikan barang tersebut, perompak mengikat tangan dan kaki kesemua mangsa dengan menggunakan wayar telefon dan sapu tangan serta dikurung dalam satu bilik, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Keluarga itu yang berjaya melepaskan diri sejam kemudian membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Maran, katanya.

Pada hari sama, sekumpulan pekerja warga Indonesia yang sedang membersihkan sebuah ladang kelapa sawit di Seri Jaya dekat Gambang di sini gempar apabila menemui selaras senapang bersama 11 butir peluru.

Nordin berkata, dalam kejadian kirakira 9 pagi itu, salah seorang daripada mereka telah ternampak selaras senapang berkarat dan diselaputi lumut bersama satu bungkusan plastik berisi 11 butir peluru sebelum melaporkan kepada polis.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan senjata tersebut dibuang oleh pemburu haram kerana kawasan ladang itu sememangnya terkenal dengan aktiviti menembak burung.BERNAMA

Artikel Lain