suria

Lelaki 63 tahun diberkas edar DVD di kawasan mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 63 tahun diberkas hari ini kerana mengedar DVD bertajuk "Bubar DUN Perak" di perkarangan Kompleks Mahkamah Persekutuan di sini.

Dia ditahan oleh anggota polis ketika leka mengedar DVD itu kepada orang ramai selepas selesai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 pagi tadi.

Polis kemudian membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut serta meneliti kandungan DVD itu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi Bernama berkata polis menahan lelaki itu kerana kesalahan mempamer, mengedar dan memiliki DVD yang mencurigakan.

"Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu merupakan seorang anggota parti pembangkang di Ipoh," katanya.

Beliau berkata beberapa DVD yang dirampas tidak mempamerkan identiti atau syarikat yang mencetak DVD itu dan ini merupakan satu kesalahan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Katanya lelaki itu telah dibebaskan tengah hari tadi dengan jaminan polis.

Zakaria berkata seramai 100 anggota polis ditempatkan di kompleks itu sejak pukul 6.30 pagi untuk mengawal keadaan di sekitar kompleks itu semasa kes Anwar berlangsung.

"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati 100 orang penyokong Anwar berhimpun di perkarangan kompleks seawal 7 pagi. BERNAMA

Artikel Lain