suria

Lapan lagi ditahan bantu siasatan culik di Ledang

JOHOR BAHARU: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita dalam tempoh seminggu lepas bagi membantu siasatan kes penculikan seorang wanita berumur 55 tahun di Ledang pada 22 Jun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan berasingan di sekitar Ledang hasil susulan tangkapan pertama membabitkan seorang wanita asing dan lima lelaki tempatan, 26 Jun lepas.

Seorang daripada tujuh lelaki yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki polis dengan maklumat mengenai lelaki berumur 39 tahun itu disiarkan dalam akhbar tempatan 1 Julai lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web versi baru polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis menemui wang tunai RM46,500 yang dipercayai pecahan daripada wang tebusan dan merampas sebuah kereta Proton Waja dan lapan telefon bimbit dalam tangkapan terbaru itu.

Beliau berkata tujuh lelaki dan wanita yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 46 tahun itu kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1991.

Dalam kejadian 22 Jun lepas, kumpulan penculik telah melarikan wanita berusia 55 tahun tersebut ketika mangsa sedang beriadah di kawasan Serom 8, Sungai Mati, kirakira pukul 6.30 petang sebelum menuntut wang tebusan RM1 juta daripada keluarga mangsa.

Seorang wanita warga asing dan lima lelaki tempatan berjaya ditahan polis pada 26 Jun selepas menerima sebahagian wang tebusan RM650,000 dan melepaskan mangsa pada hari yang sama, sebelum tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan sejak Selasa sehingga semalam, itu.

Mengenai laman web itu di www.polisjohor.gov.my,versi, Mohd Mokhtar berkata beliau berharap orang ramai terus membantu polis dengan menyalurkan pelbagai maklumat jenayah bagi mengurangkan kadar jenayah seluruh negeri.

"Antara maklumat yang terkandung dalam laman web ini ialah mengenai orang yang dihehendaki polis, orang hilang, kedudukan balai polis, pautan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen serta memuat turun borang seperti borang Kempen Rumah Selamat," katanya.

Katanya laman web yang diperkenal 1 Julai tahun lepas itu telah dilayari 63,051 individu dan menerima 778 aduan. BERNAMA

Artikel Lain