suria

Ibu tunggal mengaku tidak bersalah cederakan pembantu rumah

KUALA LUMPUR:Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini terhadap pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia pada akhir bulan lepas.

Choo Pei Ling, 37, didakwa mencederakan Modesta Rengga Kaka, 25, dengan menggunakan rotan di rumahnya, No. 255 Jalan 8, Kampung Baru, Ampang, pada 1.20 pagi, 25 Jun lepas.

Ibu kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau manamana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Raya, ASP Dr. A.Vasu menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes itu adalah serius memandangkan isu penghantaran pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia dibekukan sementara ekoran pelbagai kes mengenai pembantu rumah warga itu.

Peguam R.Arumugam yang mewakili Choo, merayu kepada mahkamah supaya dapat meringankan jaminan kerana anak guamnya itu kini mengandung tujuh bulan dan sering mengalami masalah kesihatan di samping mengalami masalah kewangan serta telah berpisah dengan suaminya sejak enam bulan lalu.

Majistret Azaraorni Abdul Rahman membenarkan Choo diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Bapa Choo membayar wang jaminan itu. BERNAMA

Artikel Lain