suria

DAP dan PKR mahu Guan Eng sebagai pengerusi pakatan pembangkang Pulau Pinang

PULAU PINANG: DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng dilantik sebagai pengerusi pakatan pembangkang di Pulau Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata kedua-dua parti itu telah bertemu dan bersetuju untuk mencadangkan Lim mempengeruskan mesyuarat bulanan pakatan pembangkang di negeri ini.

"Mesyuarat tersebut adalah sebagai faktor penting bagi Pakatan Rakyat memenangi (pentadbiran) peringkat persekutuan.

"Lim telah bersetuju untuk menerima jawatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas pertemuan pemimpin PKR negeri dengan Lim di sini Selasa.

Zahrain berkata beliau akan turut mendapat persetujuan pemimpin PAS negeri sebelum membuat sebarang pengumuman lanjut mengenai cadangan itu.

Mengenai pemecatan anggota PKR, Johari Kassim sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zahrain berkata PKR dan kerajaan negeri telah berbincang mengenai perkara itu dan beliau bercadang bertemu Johari tidak lama lagi.

Johari dipecat setelah mengetuai lapan ahli MPSP dari PKR memboikot majlis angkat sumpah pelantikan presiden MPSP awal bulan lalu. BERNAMA

Artikel Lain