suria

Bekas juruteknik ditemui mati dalam bilik air rumah

ALOR SETAR: Seorang bekas juruteknik Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah yang baru bersara ditemui mati dalam bilik air di rumahnya di Taman Sri Ampang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Abdul Ghafar Rajab berkata mayat Abdul Rahman Hassan, 55, yang tinggal seorang diri dalam rumahnya ditemui oleh jiran pada pukul 7 malam setelah mereka terhidu bau busuk dari rumah itu. Katanya Abdul Rahman dipercayai meninggal dunia empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah busuk serta berulat.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan di kepala selepas tergelincir di bilik air," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Polis juga menemui beberapa jenis ubat dan makanan di dalam raga motosikal milik Abdul Rahman dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).BERNAMA

Artikel Lain