suria

Tiga lelaki Vietnam dipenjara dua tahun curi telefon bimbit

SHAH ALAM: Gara-gara mencuri empat telefon bimbit kepunyaan rakan senegara mereka, tiga lelaki warganegara Vietnam hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Hakim M. Gunalan memerintahkan Dang Van Dinh, 24, dan Nguyen Tung Quoc, 23, menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 27 Mei tahun lepas sementara Vu Van Tien, 30, diperintahkan menjalani hukuman itu bermula hari ini memandangkan sebelum ini dia dibebaskan dengan jaminan.

Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai operator pengeluaran, mengaku bersalah mencuri telefon bimbit jenis Sony Ericsson W200i milik Nguyen Thi Vinh, 29; telefon bimbit jenis Nokia 1110i milik Ngu Thi Lanh, 28; dan dua telefon bimbit jenis Nokia 1600 serta Nokia 3220 kepunyaan Vhi Thi Thuy, 24, yang anggaran kerugian berjumlah RM1,500.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No: 403, Blok 39, Seksyen 24 di sini, kira-kira pukul 9.45 malam pada 27 Mei tahun lepas.

Dang, Nguyen dan Vu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi sementara ketiga-tiga tertuduh yang mempunyai visa sah diwakili peguam Nor Asikin Ideris. BERNAMA

Artikel Lain