suria

Senator syor tubuh jawatankuasa kaji Rang Undang-Undang DNA

KUALA LUMPUR: Seorang senator hari ini mencadangkan agar sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parlimen diwujudkan bagi mengkaji dengan teliti Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang menurutnya menimbulkan banyak keraguan.

Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata jawatankuasa itu perlu terdiri daripada wakil Kementerian Dalam Negeri, Polis, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, Jabatan Kimia dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Apa yang perlu dewan tekankan ialah, batalkan perdebatan rang undang-undang ini, dan serahkan ia kepada rundingan antara ahli pakar dalam bidang ini, dan saya cadangkan kepada Dewan supaya tubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen atau sekurangkurangnya satu jawatankuasa kerja di peringkat tertinggi untuk selidik dan buat pindaan kepada rang undang-undang ini," katanya.

Beliau yang pertama kali bangun selepas dilantik menjadi Senator semalam, berkata demikian ketika membahaskan Rang DNA 2008 di Dewan Negara di sini hari ini.

Tunku Abdul Aziz berkata beliau meragui beberapa perkara dalam rang undang-undang ini sekiranya ia diluluskan kerana mendakwa rang undangundang berkenaan tidak memiliki keselamatan di dalam penyimpanan dan pengujian sampel serta profil DNA.

"Rang Undang-Undang ini juga tiada keselamatan dari segi cara sampel dilaksanakan, tiada peraturan yang jelas dinyatakan di sini," katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu juga tidak mempunyai sebarang peruntukan bagi ujian sampel terhadap tertuduh yang benar-benar bebas serta tidak memberi peluang bagi tertuduh untuk menguji pengesahan sampel yang mempunyai profil DNA tertuduh.

"Oleh itu, rang undang-undang ini tidak memberikan jaminan dari segi laporan kimia bahawa sebagai bahan bukti profil DNA di mahkamah yang datang dari sampel yang sama diambil dari tertuduh yang sama. Perkara ini akan membawa 1,001 keraguan," katanya. Persidangan Dewan disambung esok. BERNAMA

Artikel Lain