suria

Ramai Pemuda Pas kecewa dan mahu beralih sokongan, kata Khairy

KUALA KRAI: Pergerakan Pemuda Umno mendedahkan bahawa ramai anggota Pemuda PAS yang kecewa dengan krisis kepimpinan parti pembangkang itu, terutama dalam berkaitan isu kerajaan perpaduan, yang "memberi isyarat" akan beralih arah menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Manik Urai 14 Julai ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata beliau baru sahaja mendapat maklumat berhubung kewujudan kumpulan itu yang cukup ramai bilangannya, dan akan mengatur perjumpaan segera dengan mereka.

Katanya beliau memandang serius perkara itu dan akan berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenainya untuk mengetahui sekiranya sokongan kumpulan itu kepada BN akan dibuat secara senyap atau secara terbuka.

"Saya tidak mahu dedahkan perkara ini secara terperinci kerana ia masih di peringkat awal perbincangan dengan kumpulan ini," katanya pada persidangan media di Pusat Operasi BN Manik Urai di sini.

Katanya Pemuda BN akan bergerak seiring untuk menarik lebih 3,000 pengundi muda di kawasan berkenaan, yang sudah didekati semasa perlaksanaan Program Pemuda Masuk Kampung baru-baru ini.

Pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai ini yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS Ismail Yaacob pada 22 Mei lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah. BERNAMA

Artikel Lain