suria

Kontraktor didakwa terima rasuah RM35,000

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000 kira-kira enam tahun lalu.

Ariffin A. Ghani, 51, didakwa menerima rasuah dalam bentuk sekeping cek Bank Muamalat Malaysia Berhad bernilai RM25,000 daripada S. Jayabalan iaitu kerani Syarikat Build Text Construction Sdn Bhd.

Menurut kertas pertuduhan ia adalah sebagai upah buat Ariffin kerana menolong Syarikat Build Text Construction Sdn Bhd mendapatkan tender projek membina Medan Selera di Lot 3622 Merlimau, Jasin, Melaka dari Majlis Daerah Jasin, Melaka.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Syarikat Build Tex Construction Sdn Bhd, di No 17-2, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa Setia 3, Wangsa Melati Business Centre, pada 7 Mac 2003.

Bagi pertuduhan kedua di tempat yang sama pada bulan Oktober 2003, Ariffin didakwa menerima suapan yang berjumlah RM10,000 daripada pengarah syarikat itu Build Text Construction Sdn Bhd bagi tujuan yang sama dengan pertuduhan pertama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Hakim Rosbiahanin Ariffin kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Hamdan manakala Ariffin diwakili peguambela Azrul Zulkifli Stork. BERNAMA

Artikel Lain