suria

Kerajaan tidak bercadang kembalikan sekolah aliran Inggeris

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak bercadang untuk menukar aliran persekolahan yang sedia ada sekarang kepada aliran Inggeris, Dewan Negara diberitahu Selasa ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian yakin aliran persekolahan yang dilaksana kini masih relevan dan melaluinya kerajaan berupaya melahirkan modal insan berkualiti selaras dengan Dasar Pendidikan Negara serta kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan penyemakan semula kandungan sukatan pelajaran selaras dengan hasrat untuk mengemaskini kurikulum sukatan persekolahan telah dilaksanakan," katanya menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada Persidangan Dewan Negara di sini.

Wee berkata pengajaran bahasa Inggeris di setiap sekolah adalah mengikut kurikulum yang diselaraskan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum.

"Bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, bilangan waktu mengajar yang diperuntukkan bagi mata pelajaran ini adalah sama bagi semua sekolah," katanya.

Beliau berkata kementerian turut melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bahasa Inggeris di setiap sekolah bagi membolehkan murid menguasai bahasa itu serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Peranan pemimpin masyarakat juga penting dalam memberi kesedaran kepada ibu bapa dengan menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Inggeris sama ada di rumah atau di perpustakaan desa, katanya. BERNAMA

Artikel Lain