suria

Kerajaan berhasrat jadikan Felda gedung makanan negara - Najib

SEGAMAT: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata kerajaan berhasrat menjadikan tanah rancangan Felda di seluruh negara sebagai gedung makanan negara yang mampu mengeluarkan tanaman berskala besar.

Perdana Menteri berkata Felda sebagai pengeluar makanan bertepatan untuk menjadikan rancangan pertanian yang berusia 53 tahun itu bersifat lebih moden yang bukan hanya menumpukan pertanian kelapa sawit semata-mata.

"Banyak kawasan lapang dalam kawasan penempatan Felda ini seperti di pekarangan rumah atau tanah kosong. Kita mesti tanam tanaman yang boleh memberi hasil seperti cili pulai, terung, bunga kantan dan pisang berangan," katanya semasa berucap pada majlis Hari Peneroka Felda 2009, di Felda Maokil, di sini, Selasa ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Noor dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Najib berkata terdapat beberapa rancangan Felda di negara ini sudah memulakan projek tanaman mereka yang dijalankan secara "taman makanan" dan usaha akan dibuat supaya pengeluaran tanaman secara besar-besaran dapat dilakukan.

Beliau berkata bagi menjayakan matlamat pengeluaran tanaman tersebut, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bekerjasama membantu petani menjalankan tanaman secara kontrak dan hasilnya dibeli terus oleh agensi itu.

"Saya yakin konsep ini boleh memberi sumbangan yang besar kepada hasrat kerajaan bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Perdana Menteri berkata beliau bangga dengan kejayaan masyarakat Felda yang berjaya keluar dari arus kemiskinan selain Felda diiktiraf sebagai satu gagasan agensi pembangunan tanah yang paling berjaya.

Najib berkata kejayaan Felda hari ini akan menjadi modal kepada agensi itu untuk terus memacu ke arah kejayaan lebih besar bagi tempoh 50 tahun akan datang.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM225 juta untuk menaiktaraf rumah peneroka.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah membelanjakan sejumlah RM408 juta untuk membangunkan 15 projek perumahan generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta untuk membina dewan orang ramai dan gelanggang sukan bagi kemudahan penduduk Felda Maokil.

Najib turut menyampaikan Anugerah Keceriaan Kampung Felda 2009, yang disandang oleh Felda Ulu Belitong, Kluang, dengan menerima hadiah utama sebanyak RM1 juta. BERNAMA

Artikel Lain