suria

Indonesia batal pembekuan penghantaran pembantu rumah Ogos depan

KUALA LUMPUR: Indonesia mungkin membatalkan pembekuan tenaga kerjanya ke Malaysia seawal-awalnya 1 Ogos depan sekiranya rundingan kedua-dua negara pada pertengahan bulan ini mencapai kata putus yang positif, kata Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Erman Suparno.

Beliau berkata mesyuarat tersebut yang dijangkakan berlangsung di Kuala Lumpur adalah bagi mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai tenaga kerja yang ditandatangani pada Mei 2006 oleh kedua-dua buah negara.

Katanya pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah untuk bekerja di Malaysia akan ditarik balik selepas perbincangan mengenai kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara itu diselesaikan.

"Kami optimistik untuk meneruskan penghantaran tenaga kerja. Bagaimanapun semuanya bergantung kepada keputusan perbincangan akan datang.. Ogos nanti semuanya akan normal seperti sediakala jika semuanya okay dan semua pihak berpuas hati," katanya kepada pemberita di Kedutaan Besar Indonesia di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassa yang berlangsung lebih sejam di Kementerian Sumber Manusia, di Putrajaya.

Dr Erman berkata dalam mesyuarat itu, antara yang diusulkan beliau termasuklah majikan perlu memenuhi hak pembantu rumah Indonesia seperti pasport dipegang oleh pemiliknya, faedah kenaikan gaji, menetapkan standard gaji, hari kelepasan setiap minggu dan hak untuk bercuti.

Katanya, pertemuan hari ini membincangkan mengenai usaha meningkatkan kualiti layanan dan perlindungan pembantu rumah yang bekerja di negara ini termasuk mendidik majikan agar tidak sewenang-wenangnya menyeksa dan mendera pembantu rumah.

"Ada beberapa perkara kita tekankan iaitu mengenai pasport yang selama ini dipegang oleh majikan. Pasport adalah identiti yang tidak boleh dipisahkan dan harus dipegang oleh individu itu sendiri.

"Selain itu majikan juga tidak patut menghalang mereka untuk menunaikan ibadah dan memberikan mereka keizinan untuk pulang mengundi ketika berlangsungnya pilihanraya di Indonesia. Semuanya ini akan kita bahas pada perjumpaan akan datang termasuk mengkaji semula MoU," katanya.

Bagi meningkatkan perlindungan ke atas pembantu rumah dari negara itu, beliau berkata, kaedah pengambilan khidmat pembantu rumah mesti dilakukan secara rasmi menerusi agensi tenaga kerja yang sah dengan kontrak pekerjaan yang jelas. Menurutnya, Indonesia akan berusaha memperketat proses pemergian golongan pembantu rumah ke Malaysia bagi mencegah masalah kemasukan secara tidak sah.

Katanya, kerajaan Indonesia sememangnya mahu menyekat kebanjiran tenaga kerja Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia dan memastikan pekerja yang sah diambil bekerja oleh firmafirma yang sah di Malaysia.

Erman berkata, Subramaniam turut mengusulkan beberapa langkah termasuklah memastikan agar setiap majikan membuka akaun bank bagi pembantu rumah mereka supaya pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia dapat memantau pembayaran gaji kepada mereka.

"Kami senang dengan cadangan itu Malaysia yang positif itu. Kami bersama Malaysia juga sepakat untuk menubuhkan sebuah badan penyelaras untuk memastikan semua isu berkaitan pentadbiran pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dapat diselesaikan," katanya.

Sementara itu, dalam satu temubual khas dengan Radio 24 Bernama di sini semalam, beliau meminta kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan tegas terhadap manamana majikan yang didapati bersalah mendera pembantu rumah Indonesia.

Katanya, majikan sepatutnya menawarkan perlindungan kepada pembantu rumah, bukannya mendera mereka tanpa sifat perikemanusiaan dan sebarang masalah membabitkan pembantu rumah boleh diselesaikan dengan baik tanpa kekerasan dengan meletakkan undangundang di tangan sendiri.

"Kalau tenaga kerja Indonesia salah, buktikan secara hukum (undang-undang)... kalau majikan melakukan tindakan kekerasan, penyeksaan, pencederaan... itu adalah pelanggaran hak asasi kemanusiaan.

"Kes penderaan pembantu rumah dipandang serius di Indonesia memandangkan melibatkan penderaan secara jelas dan kesnya berulang kali berlaku. Oleh kerana itu majikan perlu dihukum berat dan seadiladilnya kerana tenaga kerja yang didera, akan kerugian material, fizikal dan psikologi," katanya.

Beliau berkata majikan dan pembantu rumah mempunyai keinginan yang sama dalam mencapai keperluan hidup mereka dan oleh itu adalah wajar perlindungan kepada pembantu rumah diberikan keutamaan.

Sebelum ini, Dr Erman dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan pembekuan itu dibuat berikutan banyak aduan para pekerja bahawa mereka telah didera oleh majikan di Malaysia dan arahan itu tidak berubah sehingga Malaysia menjamin keselamatan pembantu rumah Indonesia. BERNAMA

Artikel Lain