suria

Herald: Permohonan Majlis Agama didengar 17 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Julai ini untuk mendengar permohonan oleh sembilan majlis agama bagi mencela dalam permohonan baru Gereja Roman Katholik untuk semakan kehakiman mengenai penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan mingguannya.

Hakim Lau Bee Lan turut menetapkan tarikh sama dalam kamar bagi sebutan permohonan semakan kehakiman, yang dijadual didengar hari ini.

Pihak pencela ialah tujuh majlis agama Islam negeri dari Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka manakala dua lain ialah Majlis Gurdwara Malaysia dan Persatuan Cina Muslim Malaysia.

Pada 16 Feb lalu, Ketua Biskop Gereja Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan baru untuk semakan kehakiman selepas permohonan semakan kehakiman pada 2008 menjadi akademik berikutan permit penerbitan 'The Herald' bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2008, telah luput.

Dalam permohonan itu, Pakiam, sebagai penerbit 'The Herald', menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam tindakannya menuntut perisytiharaan bahawa keputusan responden bertarikh 7 Jan, 2009, melarang beliau daripada menggunakan perkataan "Allah" dalam 'Herald-The Catholic Weekly' adalah haram.

Beliau juga menuntut satu perisytiharaan bahawa beliau berhak menggunakan perkataan 'Allah" dan perkataan tersebut bukan eksklusif untuk agama Islam. BERNAMA

Artikel Lain