suria

ADUN BN Selangor akan saman Speaker dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan empat lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional akan menyaman Speaker Kerajaan Negeri Teng Chang Khim dan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Undangan (JKHK) Negeri yang mencadangkan supaya khidmat mereka sebagai wakil rakyat digantung.

JKHK yang dipengerusikan Teng mencadangkan Khir digantung daripada menghadiri sidang dewan selama setahun dan juga kemudahan elaun sebagai Anggota DUN selama setahun selepas didapati bersalah kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Mac lepas.

SELCAT ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan IsteriIsteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada pertengahan Mac lepas.

Selain Dr Mohamad Khir, empat lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Marsum Paing (Dengkil), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali), Datuk Warno Dogol (Sabak) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) didapati bersalah menghina Dewan oleh JKHK dan masingmasing digantung daripada menghadiri dewan termasuk kemudahan elaun mereka selama enam bulan.

Keempatempat ADUN itu didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan menuduh SELCAT sebagai sebuah badan yang tidak bebas dan alat politik untuk membalas dendam terhadap wakil BN.

Dr Mohamad Khir berkata pihak peguam mereka sedang menyiapkan butiran saman yang bakal difailkan di mahkamah di sini dalam sehari dua lagi bagi mengelakkan cadangan itu dilaksanakan.

Besar kemungkinan cadangan penggantungan Dr Mohammad Khir dan empat lagi ADUN BN akan dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan bermula Rabu ini.

Cadangan JKHK itu nampaknya berbau politik kerana dengan tiadanya beliau di dewan bersama empat lagi rakannya dari BN, ini akan mengurangkan undi BN daripada 20 kepada 15 manakala Pakatan Rakyat mempunyai 36 kerusi daripada 56 kerusi di dalam dewan, katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Dr Mohamad Khir berkata tindakan Teng mirip kepada tindakan Speaker DUN Perak V.Sivakumar yang menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya daripada menghadiri sidang dewan apabila pakatan pembangkang hilang majoriti di dalam DUN Perak.

"Ini nampaknya strategi politik pakatan pembangkang bagi menghadapi kemungkinan jika ada pergeseran di antara PAS dan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakibatkan kesemua lapan ADUN Pas keluar dari pakatan itu, katanya.

Jika keadaan ini berlaku, ia akan mengakibatkan pakatan pembangkang akan hilang majoriti apabila 28 kerusi dimiliki PKR dan DAP manakala 28 lagi dikuasai oleh UMNO dan Pas, katanya.

Oleh itu, Dr Mohammad Khir berkata sekiranya beliau dan empat lagi rakan dari BN digantung maka keadaan pakatan pembangkang hilang majoriti tidak akan berlaku kerana BN sudah hilang lima undi kerana ahliahlinya digantung," katanya.

Beliau berkata:"Tengok Pulau Pinang dan Kedah, kecoh. Mereka mendirikan kerajaan dengan kepentingan masingmasing. Selama setahun, mereka mungkin bertahan dan berselindung tetapi selepas setahun, tak boleh."

"Saya tengok banyak isu yang mereka kata selesaikan tetapi tak selesai seperti isu kuil di Rimba Jaya dan jeti di Pulau Ketam dan banyak lagi," katanya sambil menambah pakatan pembangkang semakin rapuh selepas tidak lagi mendapat sokongan masyarakat yang sepatutnya mereka bela. BERNAMA

Artikel Lain