suria

Wanita alami tekanan selepas gambar bogel tersebar di internet

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengalami tekanan dan ketakutan selepas menerima ugutan daripada bekas teman lelakinya yang menyebar gambar-gambar dan klip video bogel wanita itu di internet. Mangsa yang dikenali sebagai Tan, 25, berkata, beliau menyedari perbuatan bekas teman lelakinya itu minggu lepas selepas dimaklumkan bekas rakan-rakan kolejnya. Tan, bekas pelajar jurusan sains di sebuah kolej di Australia berkata, beliau bercinta dengan teman lelakinya itu yang dikenali sebagai C. C. Chan, 25, seorang warga Hong Kong, empat tahun lalu semasa sama-sama menuntut di kolej yang sama.

Namun mereka memutuskan perhubungan pada September tahun lepas.

Selepas menamatkan pengajian, Tan pulang ke Malaysia namun kehidupannya terganggu sejak minggu lalu setelah dihubungi bekas rakan-rakan kolejnya dan bertanya tentang beberapa rakaman klip video bogelnya yang diperoleh melalui emel.

Lebih memalu dan memeranjatkannya, gambar-gambar tersebut turut disebarkan oleh bekas teman lelakinya itu kepada ibu bapa Tan.

Ekoran kejadian itu, Tan kini mengalami tekanan perasaan dan hidup dalam ketakutan akibat perbuatan bekas teman lelakinya itu yang kerap menghubungi dan mengganggu hidupnya.

"Beliau (Chan) tidak dapat menerima hakikat di atas keputusan saya memutuskan hubungan kami dan mahukan penjelasan," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 23 aduan berhubung kes seumpama itu sejak 2006 dan sebanyak 20 kes melibatkan kaum wanita.

Beliau berkata dari Januari sehingga Jun tahun ini sahaja sebanyak enam kes diterima pihaknya dan bimbang kes ugutan seumpama itu terus berlarutan meskipun beberapa kali didedahkan oleh media selama ini. BERNAMA

Artikel Lain