suria

Mantapkan jentera untuk pastikan kemenangan - Muhyiddin

KUALA KRAI: Kemantapan jentera parti Barisan Nasional (BN) khususnya untuk menangkis dakyah parti lawan adalah penting bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, faktor calon yang baik tidak memadai jika tidak dibantu dengan kerja keras jentera parti di semua peringkat untuk memenangi hati pengundi.

"Harapan (untuk menang) itu ada, tapi secara ikhlas kita perlu kerja keras.

"Jurang antara kita dan lawan semakin rapat. Perlu komitmen dan kesungguhan dan kerja kuat jentera parti," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN yang diwakili Ketua Pemuda Umno Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan PAS yang diwakili bendahari PAS Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Tuan Aziz ialah bekas pegawai Kesedar manakala Mohd Fauzi ialah seorang pemborong ikan.

Mengakui bahawa Manik Urai ialah kubu PAS, Muhyiddin menolak persepsi bahawa sentimen pengundi tidak memihak kepada BN.

"Apa yang penting tunjukkan BN parti yang ingin bantu rakyat dan wakili semua kaum," katanya.

Dalam konteks Manik Urai, di mana majoritinya pengundi Melayu, Muhyiddin meminta pengundi memberi peluang kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

Sebanyak 99.2 peratus daripada 12,293 pengundi adalah orang Melayu.

Beliau berkata BN akan menekankan bahawa pembangunan fizikal perlu selari dengan konsep pembangunan Islam yang dibawa PAS selaku kerajaan negeri Kelantan sejak 1990. Sehubungan itu peranan jentera parti untuk memberi penerangan kepada pengundi amat penting bagi menjelaskan hasrat dan harapan BN kepada rakyat di Manik Urai.

"Kita kena damping dengan pengundi untuk betulkan pandangan serong yang dibangkitkan lawan termasuk oleh Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa BN mampu mengulangi kejayaannya di Pengkalan Pasir pada Disember 2005 jika semua pihak memainkan peranan.

Muhyiddin turut menolak andaian pengundi Manek Urai taksub dengan pemimpin.

Terdahulu Muhyiddin mengiringi Tuan Aziz ke pusat penamaan calon itu bersama-sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed, menteri-menteri kabinet, naib-naib presiden Umno, wakil-wakil parti komponen BN dan beribu-ribu penyokong. BERNAMA

Artikel Lain