suria

Hishammuddin beri ADUN DAP Skudai amaran

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan Skudai, Dr. Boo Cheng Hau yang sekali lagi menyamakan konsep bumiputera dengan dasar aparteid Afrika Selatan.

Boo yang juga Ketua Pembangkang di DUN Johor didakwa mengeluarkan kenyataan itu dalam ucapannya pada majlis pidato Persatuan Cina dan disiarkan akhbar bahasa Mandarin Selasa lalu.

Dakwaan tersebut bukan kali pertama keluar daripada mulut Boo kerana pada 26 Februari lalu wakil rakyat itu yang juga Pengerusi DAP Johor pernah mengeluarkan kenyataan sama dengan mendakwa konsep bumiputera menyamai ideologi aparteid.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kemeteriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap Boo jika kenyataan beliau itu mengandungi unsur hasutan.

"Saya sedang kaji secara serius isu ini. Ini kali kedua dia buat macam tu.

"Saya minta dia berhenti kerana mengatakan sesuatu yang boleh memecahbelahkan rakyat di sidang Dewan Undangan Negeri merupakan perkara yang saya tidak akan kompromi.

"Itu merupakan kenyataan yang cukup jahat niat dan matlamatnya," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini semalam.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata:

"Dia (Boo) tidak boleh sembunyi di belakang DUN untuk membuat kenyataan-kenyataan seperti itu."

"Saya sendiri pun tidak boleh meletakkan diri melebihi undang-undang sedia ada. Apatah lagi dia yang menimbulkan isu sensitif khususnya kepada rakyat di Johor," katanya.

Ditanya adakah ADUN DAP itu akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata: "Banyak lagi undang-undang lain yang boleh digunakan selain ISA."

Artikel Lain