suria

KPI peringkat nasional diumum 11 Julai?

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak beredar selepas selesai mempengerusikan retreat dua hari bersama barisan Kabinetnya yang berakhir semalam. --fotoTHE STAR, AZMAN GHANI
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak beredar selepas selesai mempengerusikan retreat dua hari bersama barisan Kabinetnya yang berakhir semalam. --fotoTHE STAR, AZMAN GHANI
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak beredar selepas selesai mempengerusikan retreat dua hari bersama barisan Kabinetnya yang berakhir semalam. --fotoTHE STAR, AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dijangka mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) - salah satu pendekatan kepimpinan beliau, dengan skop yang lebih luas membabitkan peringkat nasional pertengahan bulan ini.

Ia dijangka diumumkan 11 Julai ini sempena 100 hari pertama beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengangkat sumpah pada 3 April lalu.

Semalam, Najib mempengerusikan retreat atau khemah kerja pertama Kabinetnya, yang antara lain membincangkan pencapaian barisan jemaah menteri beliau termasuk kemajuan mekanisme KPI membabitkan anggota Kabinet.

Awal bulan lalu, Najib berkata, KPI yang kini hanya membabitkan anggota Kabinet, akan diguna pakai dalam semua urusan kerajaan.

Katanya, pendekatan mesra rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi awam kerana kerajaan memahami pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

"Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian semua penjawat awam apabila berurusan dengan rakyat," kata beliau dalam laman blognya, www.1malaysia.com.my awal bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon telah ditugaskan khas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan beliau juga bertanggungjawab bagi memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

Pada 22 Jun lalu, Koh mengumumkan semua menteri telah menyerahkan laporan awal KPI kementerian masing-masing kepada Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, penilaian terhadap KPI berkenaan tidak dapat diumumkan kerana ia memerlukan beberapa penyesuaian berikutan prestasi beberapa agensi di bawah kementerian turut bergantung kepada prestasi agensi yang lain.

Dalam pada itu, ketika ditemui selepas retreat semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, secara keseluruhannya khemah kerja Kabinet telah memfokus aspek penilaian prestasi jemaah menteri menerusi KPI.

"Isu yang kita bincangkan ialah mengenai KPI Menteri Kabinet... kami jemaah menteri telah berbincang mengenai KPI," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas mengenai hasil KPI pertama itu, beliau berkata: "Tunggu Perdana Menteri umumkan nanti."

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman memberitahu, selain membincangkan KPI, mereka juga menyentuh kaedah untuk meningkatkan sistem penyampaian di kementerian dan kaedah untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik bersama kakitangan awam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain