suria

Kerajaan Pusat sedia bantu penduduk Kampung Buah Pala

PULAU PINANG: Kerajaan Pusat sedia menawarkan bantuan bagi menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala di sini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah.

Murugiah berkata, beliau telah memantau situasi di kampung itu buat beberapa ketika dan beliau sedia berbincang dengan penduduk berkenaan bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menguasai negeri ini tetapi kerajaan pusat masih di tangan BN dan kita perlu bantu rakyat tanpa mengira kaum," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita sebelum menerima anggotaanggota baru Parti Progresif Penduduk di sini hari ini.

Bagaimanapun Murugiah berkata, beliau menjangka wakil penduduk itu akan mengemukakan memorandum kepada beliau hari ini.

"Saya akan terima memorandum dan melakukan kajian mengenai situasi kampung itu sebelum melaporkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Murugiah berkata, beliau ingin menemui Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi membincangkan bagaimana untuk membantu penduduk berkenaan.

Hari ini, Lim berkata kerajaan Pulau Pinang akan menulis kepada Najib bagi mendapatkan bantuan kerajaan pusat untuk mengambil alih tanah perdana di kampung berkenaan.

Lim berkata, kerajaan negeri tidak berupaya membayar kos yang tinggi mengambil alih tanah berkenaan daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Penduduk berkenaan telah berjuang sejak beberapa tahun mempertahankan kawasan pemeliharaan lembu itu, dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang, daripada dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tersebut, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata soal melibatkan projek penempatan semula adalah rumit dan perlu ada imbangan antara tuntutan setinggan dengan kepentingan pemaju.

"Isu penempatan semula setinggan cukup mencabar. Dalam pengalaman saya menerajui kerajaan Selangor selama lebih setahun, perlu ada keseimbangan antara keperluan setinggan dengan pemaju (dalam isu penempatan semula) jika tidak kita akan menghadapi masalah.

Khalid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Terbuka Menteri Besar Selangor di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPEs) dekat Kuala Langat hari ini.

Sejumlah 23 keluarga setinggan di kampung itu dikehendaki mengosongkan kawasan berkenaan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tanah itu adalah milik Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Dalam pada itu, bekas penasihat undang-undang Hindu Rights Action Force (Hindraf), P.Uthayakumar dilaporkan berkata Kampung Buah Pala adalah satusatunya kampung seumpamanya yang masih wujud di Pulau Pinang oleh itu perlu dipelihara.

"Tanah itu telah diberikan kepada penduduk di situ oleh Helen Margaret Brown yang menubuhkan sebuah badan amanah bagi pihak pekerja di ladang kelapa di situ lebih 200 tahun lalu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain