suria

Kerajaan belum fikir denda untuk kementerian gagal patuhi KPI

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memikirkan bentuk tindakan atau denda yang akan dikenakan terhadap kementerian yang gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata kerajaan kini dalam fasa untuk mempromosi dan menggalakkan KPI agar setiap menteri komited sepenuhnya bagi memastikan pengurusan prestasi di kementerian masing-masing dapat ditingkatkan.

"Kita belum bincang bentuk denda, hanya selepas pelaksanaan setahun atau dua tahun baru nampak hasil, kalau tidak mencapai atau kurang pencapaian kita akan cari punca-puncanya sebelum ambil apa-apa tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Satu Hati anjuran Wanita Gerakan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil Pemukiman KPI untuk menteri kabinet yang berlangsung selama dua hari sejak Jumaat lepas dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Koh berkata Perdana Menteri berpuas hati dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh para menteri dalam pemukiman itu dan menganggap KPI sebagai satu transformasi dan revolusi terhadap perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata Najib juga akan mengumumkan mengenai beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan berhubung dengan KPI memandangkan setiap kementerian mempunyai bidang keutamaan yang berlainan.

"Ada kementerian yang lebih cepat untuk dinilai dan ada kementerian yang sukar untuk dinilai kerana bidang berbeza. Kami akan cuba mengenalpasti bidang utama bagi menetapkan KPI dan Perdana menteri akan mengumumkannya tidak lama lagi," katanya.

Koh berkata Najib juga mengingatkan supaya setiap menteri meningkatkan prestasi bagi memberikan perkhidmatan yang cekap dan efisyen kepada rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain