suria

Wacana ilmiah: Pemuda Umno kata "OK"

PUTRAJAYA: Pergerakan Pemuda Umno telah menyatakan persetujuan untuk menerima pelawaan Dewan Pemuda PAS agar diadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Surat persetujuan yang ditandatangani oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah dipanjangkan kepada Pemuda PAS semalam.

"Khairy sudah menandatangani surat setuju sertai dan ia telah dihantar kepada Pemuda PAS," kata Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Mesyuarat Penubuhan Persatuan Belia (Protem) Secara Berkelompok di sini petang ini.

Rabu lalu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Razali yang mewakili Khairy di Parlimen.

Nasrudin telah mencadangkan tajuk Wacana Ilmiah Terbuka: Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam, namun Razali meminta tajuk tersebut ditentukan kemudian mengikut kesesuaian kedua-dua pihak.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS itu, surat jemputan kepada Pemuda Umno perlu dijawab dalam masa tujuh hari dan sekiranya Umno menerima jemputan itu, pihaknya akan menubuhkan sekretariat khusus untuk wacana termasuk bagi menentukan format, keanggotaan, tajuk, masa dan tempat untuk ia diadakan.

Razali berkata, sebagaimana telah diperkatakan oleh Khairy Rabu lalu, pihaknya akan membincangkan penubuhan sekretariat khas selepas berakhirnya pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai yang bermula Isnin ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pihaknya ingin melihat wacana ilmiah itu berjaya diadakan kelak.

"Jangan ada perkara-perkara yang akan menggagalkan hasrat itu (wacana ilmiah)... kita boleh duduk berbincang," kata Razali sambil menyifatkan usaha Dewan Pemuda itu sebagai langkah baik walaupun ada sentimen bertentangan di kalangan sekumpulan pemimpin dalam PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyifatkan pelawaan Dewan Pemuda PAS kepada Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah sebagai sesuatu yang baik dan tidak bercanggah dengan pendirian parti.

"Kita (PAS) membenarkan perbincangan diadakan dengan semua pihak. Kita tak menghalang (perbincangan) dengan mana-mana parti sama ada MCA, DAP termasuklah Pemuda Umno," kata beliau kelmarin.

Khairy juga telah menyambut baik pelawaan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk diadakan wacana mengenai pelbagai isuisu semasa.

Khairy berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai satu perkembangan baru dan besar memandangkan usaha untuk mengadakan perbincangan antara PAS dan Umno di peringkat pusat sebelum ini sering diganggu oleh parti lain dalam pakatan pembangkang.

Ketika ditanya mengenai kekerapan wacana itu, Razali menjelaskan, ia boleh diadakan lebih daripada sekali meliputi pelbagai isu semasa.

"Apa yang penting kita boleh mencari titik persamaan (dalam isu-isu yang dibincangkan)," kata beliau yang turut berharap agar apa-apa kenyataan mengenainya boleh dikeluarkan secara bersama oleh Pemuda PAS dan Umno.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain