suria

Ramai setuju cadangan wajib lulus bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menerima respons yang positif daripada orang ramai berhubung cadangan melaksanakan peraturan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kira-kira 80 peratus respons itu diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMs) dan panggilan telefon "hotline".

"Kualiti guru bahasa Inggeris perlu dilihat, tambahan masa pembelajaran Bahasa Inggeris juga perlu dikaji dan kalau perlu, kita akan ambil guru Bahasa Inggeris dari luar negara untuk mengajar di sini sebelum kita laksanakan cadangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) ke38 di sini, semalam.

Menurutnya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai keputusan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Mohd Puad berkata pengumuman mengenai PPSMI akan diumumkan Muhyiddin dalam masa terdekat.

PPSMI sebelum ini mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam dua subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Mohd Puad meminta jabatan dan agensi kerajaan menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkan sesuatu dasar dibentuk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain