suria

Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Geologi diarah periksa ketulan batu

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Geologi untuk memeriksa ketulan batu berkilau dipercayai emas yang ditemui di tapak kuari Kampung Jelutong, di Pendang dekat sini tiga hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau baru dimaklumkan mengenai penemuan batu berkenaan dan pegawai PTG diarah untuk memeriksa kawasan kuari itu esok.

"Untuk mengetahui sama ada ia emas tulin atau tidak, itu bergantung kepada ujian teknikal yang akan dilakukan dan sekiranya sah ia emas, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Jika benar ketulan batu itu mengandungi emas, ia akan jadi tumpuan, tapi emas itu merupakan milik kerajaan seperti yang tertakluk kepada enakmen bahan mineral di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Batu yang dipercayai emas itu ditemui oleh pekerja kuari berkenaan Rabu lepas, yang telah menjadi tumpuan beratus-ratus orang penduduk tempatan yang datang untuk mendapatkan bahan mineral berkenaan.

Tinjauan Bernama di tapak kuari berkenaan pagi tadi, mendapati keadaan agak lengang kerana orang ramai sudah tidak dibenarkan masuk untuk tujuan mencari gali di kawasan itu.

Penjaga kuari, Aziz Abdul Rahman, 35, berkata, tindakan itu diambil bagi mengelak kesesakan dan kejadian tidak diingini berikutan adanya aktiviti keluar masuk lori tanah di kawasan berkenaan.

Bagimanapun katanya, orang ramai masih berpusupusu ke kuari itu termasuk dari Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Seorang penduduk Ismail Ahmad, 55, dari Kampung Haji Latih, Bukit Besar, dekat sini, berkata beliau yakin ketulan batu yang berkilauan itu adalah emas yang berharga.

"Saya yakin batu itu ada emas tetapi yang membezakannya ialah emas muda atau tua, dan saya akan cuba cari gali petang ini," katanya ketika ditemui di kawasan kuari berkenaan hari ini.

Ahmad Affandi Saad, 36, pula berkata beliau ke tapak kuari berkenaan semata-mata mahu melihat ketulan batu itu, namun tidak akan melepaskan peluang untuk membawanya pulang sekiranya ia benarbenar emas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain