suria

Lim akan temui semua ADUN dan MP Pulau Pinang

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengadakan pertemuan dengan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen (MP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang bagi membincangkan isuisu yang berbangkit dan yang belum selesai antara DAP dan PKR.

Beliau berkata pertemuan itu perlu diadakan bagi menyelesaikan segala masalah atau pertelagahan yang timbul antara kerajaan negeri dan parti berkenaan termasuk menerangkan kepada pihak terbabit mengenai semua keputusan yang dicapai oleh kerajaan negeri dengan persetujuan wakil PKR agar tidak lagi bercanggah pada masa akan datang.

"Saya hendak adakan pertemuan dengan semua wakil rakyat PKR di Pulau Pinang untuk selaras apa yang mereka persetujui di dalam (mesyuarat exco) dan apa yang dicerminkan dalam kenyataan mereka di luar sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pasukan petugas Hub Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH) di sini hari ini.

Bagaimanapun Lim yang juga Setiausaha Agung DAP tidak menyatakan bila pertemuan itu akan diadakan dan di mana.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan isu pemecatan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari PKR, Johari Kassim kerana mengetuai tindakan memulaukan majlis angkat sumpah Yang Dipertua MPSP yang baru, Mokhtar Mohd Jait, seorang penjawat awam, barubaru ini. Tindakan Johari dan beberapa ahli majlis dari PKR itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati mereka terhadap Lim yang tidak berunding mengenai perlantikan itu sedangkan persetujuan yang dicapai sebelum ini adalah supaya pemimpin politik dari PKR di lantik ke jawatan itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dilaporkan berkata PKR akan menemui Lim untuk merayu supaya Johari diterima semula sebagai ahli majlis MPSP.

Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa tiga anggota exco dari PKR membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat exco, tetapi tidak diterima oleh Lim.

Lim bagaimanapun hari ini menafikan kenyataan Zahrain itu dan menegaskan bahawa keputusan untuk memecat Johari dicapai sebulat suara oleh exco yang bermesyuarat, termasuk tiga wakil dari PKR.

"Itu tidak benar sama sekali, kami ada bincang. Saya tidak mahu wujud keadaan apa yang dicakapkan secara sulit tidak dibayangkan dalam kenyataan akhbar.

"Saya lihat kenyataan mereka (pemimpin PKR) tetapi tidak mahu buat apaapa pertelagahan secara terbuka dan sebab itu saya minta nak jumpa semua ADUN dan MP dari parti PKR," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain