suria

Konsultan UK dilantik siasat bumbung Stadium runtuh

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melantik sebuah konsultan dari United Kingdom (UK) bagi menyiasat punca sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat Gong Badak, runtuh pada 2 Jun lepas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata konsultan itu yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dijangka menyerahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kita bersetuju melantik sebuah firma dari United Kingdom untuk mengendalikan kerja-kerja siasatan runtuhan bumbung stadium itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada kejadian kirakira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lepas, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hampir musnah apabila kira- kira 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh. Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kirakira setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Mengulas lanjut, Ahmad berkata stadium itu ditutup sehingga kerjakerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya kerajaan Terengganu bersetuju melantik konsultan swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan tersebut, iaitu bagi kerajaan pusat dan negeri.

Beliau berkata segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanankejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain