suria

Proton perlu penstrukturan semula dan rakan kongsi asing - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih terbuka kepada sebarang idea rakan kongsi strategik untuk Proton Holdings Bhd tetapi perlu ada syarat-syarat yang sesuai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tidak fikir Proton boleh mengurus sendiri tanpanya (rakan kongsi asing) tetapi ia perlu yang sesuai. Syarat-syarat perlu juga adil kepada kami."

"Oleh yang demikian, penstrukturan semula pembuat kereta nasional itu adalah perlu dari segi mempunyai rakan kongsi asing yang kukuh dan sesuai," kata Najib dalam interbiu dengan Adam Bakhtiar dari CNBC, yang disiarkan Jumaat.

Beliau berkata malah sistem vendor telah menjadikan pertumbuhan terlalu banyak syarikat dan mereka tidak kompetitif atau berkualiti lebih tinggi.

Semasa ditanya jika Dasar Automotif Negara dan penyertaan ekuiti Bumiputera dalam sistem vendor akan terus diberi kelonggaran, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata: "Kami tentunya mahu meningkatkan kualiti."

Syarikat-syarikat seharusnya bergabung untuk mengukuhkan prestasi mereka, katanya.

Najib berkata tarif automotif juga perlu disemak semula dari masa ke masa.

"Tetapi kami perlu melihat kepada kedudukan Proton juga. Proton yang lebih kukuh tentu juga akan dapat bersaing dalam Asean walaupun jika tarif dikurangkan," kata beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain