suria

Najib yakin BN, Umno dan Melayu sokong langkah liberalisasi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin Barisan Nasional yang termasuk pemimpin utama Umno serta Melayu menyokong pelbagai langkah liberalisasi yang diumumkannya sejak mengambil alih sebagai Perdana Menteri pada 3 April tahun ini.

Beliau melahirkan keyakinannya bahawa ini boleh diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti pemerintah pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.

Beliau juga menyatakan bahawa semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) di dalam bentuk makronya akan diteruskan tetapi instrumen yang digunakan untuk mencapai langkah penstrukturan masyarakat dan mencapai persamaan perlu diubah.

"Saya telah berunding dengan para pemimpin utama dan mereka mempercayai kini adalah masanya kami melakukan perubahan, penyemakan semula dan bergerak ke hadapan. Saya rasa rakyat menyedari perkara itu," kata Najib semasa ditanya sama ada partinya menyokong kesemua langkah yang dilaksanakannya.

Bagaimana pun, dengan pengumuman kesemua langkah berkenaan, itu tidak bermakna negara ini telah mengenepikan keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang adil, kerana ia terus kekal sebagai matlamat utama, katanya dalam satu temubual dengan Adam Bakhtiar dari CNBC yang dikeudarakan secara keseluruhannya hari ini.

Satu versi singkat dikeudarakan Rabu lepas di mana beliau menyentuh mengenai ringgit dan ekonomi.

Semasa temubual selama setengah jam itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata partinya sedang berusaha menarik keyakinan dan sokongan rakyat.

"Sesuatu dasar itu boleh dilihat kepada undi. Ini merupakan salah satu asas demokrasi dan akhirnya anda perlu mendapatkan sokongan rakyat. Saya mahu rakyat menghakimi tindakan saya dan berharap mereka akan memberikan sokongan apabila diperlukan," katanya semasa ditanya sama ada partinya akan dapat mengumpul kekuatan dengan melalui perkenalan langkah itu.

Najib berkata beliau berkeyakinan bahawa rakyat Malaysia secara keseluruhannya, termasuk Melayu dan Bumiputera, akan menyedari bahawa perubahan yang dimajukan oleh kerajaan merupakan cara terbaik untuk bergerak maju ke hadapan.

Beliau menekankan bahawa beliau akan menunaikan janjinya semasa mengambil alih jawatannya Mac lepas.

Antara langkah liberalisasi paling terbaharu baru-baru ini ialah menghapuskan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang berkuat kuasa serta merta, yang termasuk pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan.

Dengan penghapusan garis panduan FIC itu, ia bermakna menggugurkan keperluan ekuiti Bumiputera 30 peratus bagi syarikat Malaysia yang ingin disenarai awam tetapi kini mereka ditawarkan tebaran pegangan saham awal sebanyak 25 peratus.

Katanya kerajaan akan mendapatkan pandangan dan berkomunikasi dengan rakyat mengenai langkah yang diambil.

Katanya orang Melayu akan menyokong liberalisasi.

"Terdapat usahawan dan peserta korporat Bumiputera yang benar-benar bagus. Sesetengah daripada mereka menguruskan perbadanan utama dan mengendalikannya dengan baik, seperti yang anda tahu, mereka bukanlah orang yang tidak tahu apa-apa."

Satu-satunya perkara yang baru di dalam dasar itu ialah kerajaan akan mengenal pasti syarikat Bumiputera yang betul, yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang.

"Jika anda menyokong syarikat yang layak dan mempunyai masa depan yang cerah, saya tidak fikir, malah golongan bukan Melayupun, akan menegur anda kerana melaksanakan perkara itu. Saya rasa mereka ingin melihat ia dilaksanakan secara adil dan kami akan melakukan perkara itu," katanya.

Kepada cadangan bahawa beliau berbalik semula kepada dasar bapanya berkaitan penyertaan ekuiti Bumiputera, katanya:

"Di segi matlamat, wawasan Tun Razak masih boleh diterima tetapi laluan yang kami pilih dan instrumen untuk mencapai matlamat itu mestilah baharu, instrumennya tidak boleh mengikut cara lama.

"Masa sudah berubah, instrumen lama tidak benar-benar memberikan hasil, tidak mengikut matlamat yang diharapkan. Tetapi matlamat untuk mencapai masyarakat yang adil dan saksama adalah satu impian dan kesemua rakyat Malaysia berkongsi impian itu."

"Hanya, ia perlulah adil mengikut cara pelaksanaannya, kita perlu memastikan tiada kumpulan ethnik dipinggirkan dan juga tidak mendapat insentif," kata Najib.

"Jadi, dalam hubungan itu, saya telah mengemukakan konsep 1Malaysia, dan saya menghuraikan dasar khusus 1Malaysia tetapi kami perlu bekerja bersama-sama sebagai satu masyarakat, satu negara dan yang utamanya satu impian," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain