suria

Mesyuarat Parlimen ditangguh selepas 12 hari bersidang

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat bagi Penggal Kedua, Parlimen ke-12 yang bersidang sejak 15 Jun lepas ditangguhkan hari ini ke satu tarikh ditetapkan kelak.

Mesyuarat itu, yang sepatutnya berakhir 30 Jun, bersidang selama 12 hari selepas dilanjutkan dua hari mulai 1 Julai bagi membolehkan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain diselesaikan.

Sepanjang persidangan berlangsung, Dewan Rakyat meluluskan empat rang undang-undang baru dan lima rang undang-undang untuk meminda akta sedia ada.

Rang undang-undang baru ialah Rang Undang-undang Makanan Haiwan 2008; Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA)2008; Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 dan Rang Undang-undang Bank Negara Malaysia 2009.

Rang undang-undang pindaan ialah Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008; Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2008; Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2008; Rang Undang-undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2009 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Pindaan) 2009.

Dua rang undang-undang yang dijadual untuk dibentangkan pada mesyuarat kali ini ditarik balik iaitu Rang Undang-undang Orang-Orang Papa (Pindaan) 2008 dan Rang Undang-undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Perbadanan) (Pengesahan) 2009.

Persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan usul Kementerian Kewangan mengenai peruntukan pengurusan kementerian-kementerian yang disusun semula berikutan penstrukturan Kabinet baru April lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain