suria

Lelaki cuba serang polis cedera ditembak

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan dalam usaha mempertahankan diri setelah seorang lelaki menyerang mereka dengan sebilah parang.

Kejadian belaku di Jalan Kampung Teluk Pasu, Gong Badak dekat sini 7.30 malam semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt K Manoharan berkata, satu das tembakan dilepaskan ke udara dan satu lagi mengenai betis kiri lelaki tersebut yang menyerang menggunakan parang sepanjang 40 sentimeter.

"Kejadian berlaku ketika dua anggota polis yang masingmasing berpangkat L/Koperal dan Konstabel dari Unit Cegah Jenayah Balai Polis Gong Badak melakukan rondaan dengan berpakaian preman setelah menerima maklumat bahawa seorang suspek kes samun berkawan dikesan berada di kawasan Sekati, Manir.

"Suspek yang berumur 27 tahun kemudiannya dikesan berada di sebuah pondok telefon awam di Jalan Kampung Teluk Pasu bersama seorang rakannya. Dua anggota polis itu menghampiri suspek dan memperkenalkan diri mereka.

"Namun suspek melarikan diri dengan dikejar dan kemduain ditahan oleh dua anggota polis berkenaan. Bagaimanpun dalam proses tangkapan itu, rakannya yang tidak diapa-apakan muncul di tempat tersebut dengan membawa sebilah parang lalu menyerang anggota polis sehingga menyebabkan suspek terlepas dan melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal milik salah seorang anggota polis itu.

"Salah seorang anggota polis kemudiannya melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai amaran dan meminta rakan suspek yang berumur 35 tahun itu menyerah diri.

"Namun dia enggan dan masih cuba untuk menyerang, menyebabkan satu lagi das tembakan terpaksa dilepaskan yang mengenai betisnya. Lelaki itu masih mahu melarikan diri sehingga 100 meter dari tempat kejadian sebelum dia ditahan," kata Manoharan.

Rakan suspek itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dijangka akan menjalani pembedahan hari ini untuk mengeluarkan peluru dari kakinya.

Suspek dikehendaki berhubung dua kes samun berkawan pada 5 Jun lepas di Taman Desa Permai dan 30 Jun di Jalan Padang Golf, Tok Jembal.

Keduadua anggota polis itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Manoharan berkata polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap lelaki itu untuk membantu polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.

Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti suspek yang melarikan diri dan sedang menjalankan gerakan memburunya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain