suria

Keluar Pakatan: DAP Kedah mungkin ubah pendirian?

PETALING JAYA: Sambil menegaskan keputusan keluar Pakatan Rakyat negeri adalah muktamad, Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan pendirian mereka kepada Menteri Besar negeri selepas diperakui kepimpinan pusat.

DAP Kedah akan menemui Penasihat kebangsaannya, Lim Kit Siang di Alor Setar petang esok.

Su juga berkata, tindakan susulan DAP Kedah berhubung pendirian mereka termasuk pemakluman kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan ditentukan selepas keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

"Saya dah memaklumkan kepada kepimpinan pusat semalam dan kami menunggu keputusan CEC.

"Sebaik sahaja CEC membuat keputusan, kami akan membincangkan tindakan susulan. Tetapi pendirian kami muktamad," katanya ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkembangan semasa di Kedah berpunca daripada rasa tidak hormat kerajaan negeri diterajui pemimpin PAS.

Su juga mengakui bahawa pihaknya belum memaklumkan kerajaan negeri.

"Tak maklum, belum, belum... keputusan DAP Kedah perlu dimaklumkan kepada kepimpinan pusat, lepas itu baru dimaklumkan kepada Menteri Besar," katanya lagi. Semalam Azizan berkata, beliau belum menerima sebarang surat rasmi berhubung keputusan DAP untuk keluar daripada Pakatan di Kedah selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu.

Kata Azizan, DAP masih berada dalam pakatan itu selagi beliau tidak menerima pengesahan daripada kepimpinan pusat parti itu berhubung perkara berkenaan.

"Kalau mereka nak keluar, saya nak kata apa. Kalau nak kata kurang layanan pun, apakah layanan yang mereka maksudkan kerana setahu saya, kerajaan negeri telah beri layanan baik untuk semua," katanya.

Kelmarin Su mengumumkan DAP akan keluar daripada Pakatan kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar..

Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah kaum termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.

Azizan berkata, beliau tidak boleh memaksa DAP untuk menghormati kepimpinan kerajaan negeri kerana parti itu bebas membuat keputusan sama ada untuk keluar atau kekal dalam Pakatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain