suria

Kanak-kanak orang asli jadi ibu pada usia 11 tahun

PETALING JAYA: Seorang Timbalan Menteri terkejut besar ketika beliau melawat ke wad bersalin Hospital Cameron Highlands barubaru ini dan mendapati kanak-kanak Orang Asli menjadi ibu pada usia yang terlalu muda iaitu antara 11 dan 12 tahun.

Namun begitu, yang lebih membimbangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah adalah kejahilan golongan bawah umur ini bahawa mereka perlu mendaftarkan kelahiran bayi mereka.

Beliau berkata kanak-kanak perempuan terbabit akan pulang ke tempat tinggal mereka di kampung terpencil dan bayi yang dilahirkan itu langsung tidak ada sijil lahir.

"Ini akan membawa masalah bukan hanya kepada anak, ibu bapa malah kepada kerajaan juga di masa depan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk kawasan perumahan Putra Heights, Subang Jaya dekat sini, Murugiah berkata beliau akan membawa isu itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi melihat sama ada mereka boleh melantik segera seorang pegawai khas untuk mengendalikan kes sedemikian.

Murugiah berkata kes serupa turut berlaku di Sabah serta Sarawak dan penyelesaiannya perlu dicari bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Katanya setiap tahun jumlah aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam mengenai kanak-kanak tanpa sijil lahir adalah tinggi dan tugas menyelesaikan sebahagian daripada kes itu agak mencabar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain