suria

H1N1: 47 kes baru, 6 jangkitan tempatan dikesan

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga pukul 8 pagi ini, melibatkan 41 kes import dan enam kes jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 291 kes, dengan 44 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.

"Tiada kematian dilaporkan. Seramai 175 pesakit telahpun sembuh dan dibenarkan pulang dan 116 lagi masih dirawat di hospital dan kesemuanya dalam keadaan stabil tanpa sebarang komplikasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata daripada 47 kes baru itu, 28 daripadanya adalah warganegara Malaysia manakala 19 lagi merupakan warganegara asing iaitu Indonesia (sembilan), Australia (lima), Filipina (dua) dan masing-masing satu dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata enam kes tempatan melibatkan tiga pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur, yang ditutup sejak Ahad lalu dan akan dibuka kembali esok. .

Tiga lagi kes, kata beliau melibatkan satu kes kontak kepada kes import ke-143; satu kes melibatkan kontak kepada kes import ke-147 dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur (Kelas 6A); dan satu lagi merupakan kontak kepada kes import ke-170 dan bersekolah di Sri Cempaka International School, Cheras (Kelas 8 Aqua).

"Dua buah sekolah terbaru itu telah diarah menutup kelas terbabit sehingga Khamis depan, dan murid-murid yang terlibat akan diberi arahan kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sejumlah 890 kontak terdekat sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada antara mereka mempunyai simptom, setakat ini.

Mengenai situasi global, Dr Mohd Ismail berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi ini jumlah terkumpul kes H1N1 berjumlah 81,029 kes dengan 340 kematian daripada 121 negara, iaitu pertambahan sebanyak 8,057 kes dengan 29 kematian.

Lima negara baru yang terjejas adalah New Caledonia (enam), Kenya (12), masing-masing satu kes di Mauritius, Myanmar dan Saint Lucia manakala lima negara mencatat pertambahan kes tertinggi adalah Chile (2,190), United Kingdom (2,108), Mexico (749), Thailand (640) dan Brazil (228), katanya.

Dr Mohd Ismail turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentang penyebaran virus itu dan sentiasa mengikut arahan Kementerian Kesihatan.

Ia berikutan satu kes kematian yang dilaporkan di Brunei, walaupun negara itu hanya mempunyai 93 kes setakat ini, menjadikan kadar kematian di sesebuah negara berbeza-beza, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain