suria

Denggi meningkat, Chikungunya menurun

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi meningkat sepanjang minggu ke- 25 tahun ini (21 hingga 27 Jun) apabila 749 kes dengan dua kematian, masingmasing di Kuala Lumpur dan Kelantan, dicatatkan berbanding 738 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata lima negeri menunjukkan peningkatan kes denggi ketara ialah Perlis (57 peratus), Melaka (36 peratus), 34 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang (30 peratus) dan Kedah (15 peratus).

" Jumlah terkumpul kes denggi pada tahun 2009 ialah 24,534 kes dengan 62 kematian berbanding 20,721 kes dengan 45 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan mendapati sehingga 27 Jun, terdapat 33 "kawasan panas" dilaporkan berbanding 39 lokaliti pada minggu sebelumnya dengan 27 daripadanya adalah Selangor, lima lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu di Johor.

Katanya penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong royong untuk pencegahan dan pengawalan denggi masih kurang apabila hanya 28 aktiviti itu dijalankan di seluruh negara berbanding 69 yang disarankan sepanjang minggu ke25 itu.

Beliau berkata dalam tempoh 21 hingga 27 Jun itu, aktiviti kawalan vektor juga tidak dapat dilaksanakan dengan menyeluruh apabila hanya 320,845 rumah diberikan semburan kabus berbanding 682,648 yang dikenal pasti untuk tujuan itu.

Selain itu, 731 kompaun bernilai RM36,870 dan 256 notis arahan pembersihan dikeluarkan pada minggu berkenaan menerusi tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kediaman yang didapati membiak nyamuk Aedes.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata wabak Chikungunya pula menunjukkan penurunan dalam tempoh itu dengan mencatatkan 61 kes berbanding 88 kes pada minggu sebelumnya. Bagaimanapun, katanya lima negeri menunjukkan peningkatan kes berkenaan berbanding minggu sebelumnya iaitu Pulau Pinang (lima kes), Johor (dua) dan masingmasing satu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Sembilan.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya sehingga kini ialah 2,836 kes berbanding 4,271 pada tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain