suria

Warga asing tanam sendiri ganja ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing termasuk seorang remaja ditahan ketika sedang memetik daun ganja yang ditanam sendiri dalam pasu di hadapan rumah sewa mereka di Apartment Sri Ampang, Jalan Sulaiman di sini, Selasa lepas.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, polis turut merampas 11 paket kecil ganja dan dua kilogram syabu yang kesemuanya bernilai kira-kira RM700,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata ketika serbuan dilakukan, remaja Iran berumur 16 tahun dan lelaki Pakistan berumur 22 tahun itu sedang berjalan di tingkat sembilan, menghampiri sebuah pasu dan memetik daun pokok tersebut serta memasukkannya ke dalam plastik merah.

"Apabila menyedari kehadiran polis, plastik merah tersebut dibuang ke lantai, bagaimanapun, keduaduanya berjaya ditahan dan polis menemui tiga paket kecil ganja pada badan mereka.

"Kita percaya pokok ganja itu berusia dua atau tiga bulan berdasarkan saiznya yang masih kecil," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, hasil pemeriksaan di rumah tersebut polis turut menemui wang tunai sebanyak RM308,000 serta barang kemas bernilai RM5,000.

Amiruddin berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki mendapati mereka memasuki Malaysia sejak 2004, bagaimanapun hanya dokumen perjalanan lelaki Pakistan itu sahaja yang ditemui dan dia menggunakan pas lawatan yang masih sah sehingga 17 Julai ini.

"Polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada remaja tersebut, namun kita percaya dia memasuki Malaysia pada tahun 2004 dan tinggal bersama keluarganya di rumah sewa itu," katanya.

Keduadua lelaki itu kini ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. BERNAMA

Artikel Lain