suria

Polis P. Pinang tahan tujuh suspek berhubung kes culik bayi

PULAU PINANG: Polis menahan tujuh orang termasuk dua wanita warga asing berhubung penculikan bayi perempuan berusia dua bulan dan menuntut wang tebusan sebanyak RM15,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata kesemua mereka berusia antara 28 dan 45 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bukit Mertajam pada Selasa lepas setelah ibu bayi berkenaan membuat laporan polis.

"Kesemua mereka iaitu dua wanita pendatang tanpa izin, dua wanita tempatan dan tiga lelaki ditahan secara berasingan selepas polis mendapat maklumat berhubung kes itu pada 28 Jun lepas," katanya.

Beliau berkata ibu bayi itu yang merupakan pendatang tanpa izin membuat laporan polis selepas anaknya dibawa kenalannya iaitu pada 24 Jun untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik tetapi tidak diserahkan semula kepadanya.

"Kenalannya yang merupakan seorang wanita dan juga seorang pendatang tanpa izin, datang ke rumah pengadu di Taman Pelangi, Bukit Tengah pada 24 Jun dan membawa bayi berkenaan ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, sehingga 28 Jun lepas, bayi berkenaan tidak diserahkan kepada ibunya dan dalam masa yang sama mangsa turut mendapat beberapa khidmat pesanan ringkas (SMs) dari satu talian telefon bimbit yang meminta dia menyerahkan RM15,000 jika mahu anaknya semula," katanya.

Wan Abdullah berkata bertindak hasil maklumat dan siasatan, polis berjaya menahan kenalan ibu bayi berkenaan pada hari Selasa dan selepas itu pihaknya turut menyerbu sebuah rumah di Bukit Mertajam.

"Hasil serbuan itu, polis menemui bayi berkenaan dalam keadaan selamat serta turut menahan sepasang suami isteri dan dua saudara pasangan itu yang berada dalam rumah berkenaan," katanya.

Polis turut menahan ibu bayi berkenaan dan teman lelakinya bagi membantu siatan kes itu.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman sehingga tujuh hari mulai semalam dan kes itu disiasat menurut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

"Siasatan awal mendapati ibu bayi itu merupakan pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikannya barubaru ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain