suria

Polis P. Pinang tahan 17 GRO warga asing

PULAU PINANG: Tujuh belas wanita warga asing yang dipercayai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi di lima buah pusat hiburan di sekitar Georgetown, di sini awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata kesemua mereka yang berusia antara 28 dan 30 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki pas perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka yang ditahan kerana menjalankan kegiatan tidak bermoral itu terdiri daripada sembilan dari China, Vietnam (empat), Mongolia (satu), Bangladesh (dua) dan Myanmar (satu).

"Turut ditahan dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu, tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai pelindung mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Wan Abdullah berkata kesemua warga asing yang ditahan itu direman bagi membantu siasatan menurut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963.

Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut menjalankan ujian air kencing ke atas 67 pengunjung lima pusat hiburan berkenaan.

"Daripada jumlah itu, tiga orang didapati positif dadah dan kita menahan mereka untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 15 (1) ADB 1952," katanya. BERNAMA

Artikel Lain