suria

Pindah kes liwat: Rayuan Anwar ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dari Mahkamah Sesyen.

Ia diputuskan petang ini oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Hamid Embong bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha.

Alasan hakim mengenai penolakan tesebut ialah jaminan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada isteri dan anak perempuan Anwar bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam kes ini tidak boleh digunapakai berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Tiada seorangpun dari pihak Eksekutif termasuk Perdana Menteri boleh campur tangan terhadap kuasa yang ada pada Pendakwa Raya," kata Hamid semasa membacakan kerangka alasan penghakiman setebal 17 muka surat.

Selain itu, bantahan pihak perayu yang berkaitan dengan doktrin keperluan penglibatan Abdul Gani dalam kes ini, Hamid berkata, pendakwa raya mempunyai kuasa penuh untuk bertanggungjawab dalam urusan pemindahan kes tersebut berdasarkan Seksyen 418 A.

"Tidak ada kuasa alternatif dan kuasa ini adalah kuasa istimewa yang ada pada pendakwa raya," katanya.

Sementara itu Anwar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau kecewa dengan keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Kita kesal dengan keputusan itu tapi saya tidak terkejut kerana kita tidak jangka sistem kehakiman kita berubah banyak.

"Bolehkah saudara bayangkan kenyataan Mahkamah Rayuan yang katakan Perdana Menteri tidak ada pengaruh sama sekali terhadap apa-apa pendakwaan.

"Dan, jaminan Tun Abdullah tidak boleh diterima, jadi sama ada Tun Abdullah itu jahil atau tidak bercakap benar saya tak tahu," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan meminta supaya mahkamah mengkaji semula keputusan tersebut, Anwar berkata, beliau perlu berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 8 Julai di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Artikel Lain