suria

Penternak rusa didakwa miliki anak Orang Utan secara haram

KUALA LUMPUR: Seorang penternak rusa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu dekat sini hari ini terhadap lima pertuduhan antaranya memiliki seekor anak orang utan tanpa permit tiga minggu lepas.

Mohamed Akbar Chiraghdin, 49, didakwa memiliki seekor anak orang utan yang tidak matang di sebuah rumah di Bukit Sentosa, pada 8 malam 11 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 65 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu membawa hukuman denda tidak lebih RM6,000 atau penjara sehingga enam tahun atau keduaduanya.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima di tempat dan masa yang sama, Mohamed Akbar dituduh memiliki secara haram tujuh ekor burung kakak tua berlainan jenis.

Pertuduhan mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduduanya sekali.

Majistret Zuraidah Zakaria mengenakan ikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor Ahmad Shamsuddin Shaari manakala Mohamed Akhbar tidak diwakili peguam.

Anak lelaki Mohamed Akhbar membayar ikat jamin tersebut. BERNAMA

Artikel Lain