suria

Pembangkang sebenarnya tak kukuh - Ong

PULAU PINANG: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini membidas gabungan pembangkang yang cuba mengaburi mata rakyat mengenai hubungan mereka yang kukuh tetapi sebaliknya ia mengalami keretakan sejak dari awal lagi.

Beliau berkata, bibit perpecahan antara komponen gabungan pembangkang iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah nampak dari awal lagi kerana kerjasama mereka itu bukan demi rakyat sebaliknya kerana mahu memenangi pilihan raya sahaja.

"Walaupun mereka menggunakan istilah Pakatan Rakyat, sebenarnya pakatan itu hanya untuk pilihan raya bukan kerana rakyat. Kalau mereka betul-betul prihatin kepada rakyat, hubungan mereka tidak jadi celaru begini," katanya kepada pemberita selepas melawat SJK(C) Union, di sini.

Ong berkata hubungan sedemikian tidak akan bertahan lama dan lambat laun, rakyat akan membuka mata dan menyedari permainan pembangkang.

"Saya bukan Pak Nujum tetapi kita boleh nampak dengan jelas bahawa pakatan mereka adalah atas kepentingan yang sempit dan ia (hubungan) tidak akan lama. Mereka asyik tabur fitnah (terhadap Barisan Nasional) dan ini tidak dapat menegakkan kebenaran," katanya.

Semalam, DAP Kedah memutuskan mahu menarik diri daripada gabungan pembangkang yang diterajui Pas di Kedah berikutan dakwaan bahawa Pas tidak sensitif terhadap masalah rakyat manakala di Pulau Pinang hubungan DAP dan Parti Keadilan Rakyat kini diuji oleh isu pelucutan jawatan seorang wakil PKR dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ong turut menyelar gabungan pembangkang yang sering menyalahkan Barisan Nasional (BN) apabila mereka tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata tindakan menuding jari kepada kerajaan negeri terdahulu memang merupakan jalan paling mudah untuk melarikan diri daripada tanggungjawab sebenar tetapi itu tidak bermakna gabungan pembangkang boleh melepaskan diri.

"Untuk menyalahkan kerajaan terdahulu adalah cara paling mudah untuk melepaskan diri daripada masalah. Sekarang genap 15 bulan mereka berkuasa dan kalau benar kerajaan terdahulu buat silap, takkan kerajaan sekarang tidak boleh membetulkannya?," kata Ong.

Mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang, Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya telah menerima cadangan menyeluruh daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan sedang mengkaji kemungkinan PPC mengambil alih perkhidmatan itu daripada Penang Port Sdn Bhd.

Ketika ditanya mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk mengambil alih perkhidmatan feri itu, beliau berkata, kementerian tidak menerima sebarang pandangan atau cadangan daripada kerajaan negeri mengenai perkara itu.

"Kalau nak ambil alih, takkan cakap sahaja tanpa sebarang perancangan yang menyeluruh," katanya. BERNAMA

Artikel Lain