suria

PAS tidak hormat DAP Kedah punca keluar Pakatan

PETALING JAYA: Sikap tidak hormat kerajaan negeri pimpinan PAS adalah punca DAP memutuskan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah semalam, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Lim berkata, isu tersebut merupakan satu perkara yang serius kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada negara.

“DAP Kedah tidak pernah meminta gelaran ‘Datuk’. Cuma mereka tidak puas hati dengan kurangnya rasa hormat oleh PAS negeri terhadap DAP di Kedah.

"Keadaan ini berbeza dengan penghormatan yang diberi kepada PAS di Pulau Pinang... biasanya saya akan menentang langkah-langkah sedemikian terutamanya bila ia melibatkan isu yang kecil kerana jika ada ruang untuk berbincang adalah lebih baik duduk semeja dan membetulkan keadaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan menjadi buruk akibat rasa kecewa dan saling tidak percaya antara satu sama lain antara DAP Kedah dan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak daripada PAS, katanya.

Menurut beliau, Jawatankuasa DAP Pusat (CEC) akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau sebaliknya tindakan DAP negeri itu.

Jelasnya, semua implikasi akan dikaji semula sebelum keputusan muktamad diumumkan.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keputusan DAP Kedah untuk menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat negeri telah dimaklumkan oleh Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su kepadanya semalam.

“Selepas menerima surat rasmi daripada Jawatankuasa DAP Kedah baru saya akan umumkan bila saya akan mengadakan satu mesyuarat CEC untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Tambah beliau, DAP Pusat sangat prihatin akan keputusan yang dibuat oleh DAP Kedah semalam.

Semalam DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat Kedah ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu sejak selepas pilihan raya mum 2008.

Artikel Lain