suria

Kerjasama PAS dan DAP terbukti rapuh - Rais

KUALA LUMPUR: Kemelut politik pakatan pembangkang di Kedah dengan tindakan DAP negeri itu keluar daripada pakatan tersebut semalam sekali lagi membuktikan perbezaan dan ketidakmampuan mereka membina negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya, perkembangan terbaru itu juga membuktikan pakatan pembangkang adalah pakatan yang rapuh dan berasaskan kepada "kerjasama untuk mencapai kepentingan tertentu" serta tidak boleh lagi dipercayai rakyat.

"Saya sendiri berpendapat bahawa penarikan DAP ini menunjukkan pakatan itu tidak boleh kekal, kerana asas perjuangan mereka berbeda. DAP sertai pakatan pembangkang di Kedah kerana mereka mahu kuasa.

"Dari insiden PAS Kedah, dah boleh tengok yang DAP bukan rakan yang boleh dibawa bersama untuk membina negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pegawai-pegawai Penerangan Daerah di sini, hari ini.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP Kedah semalam yang bertindak keluar dari pakatan pembangkang negeri itu setelah ia gagal menghalang perobohan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.

Katanya, perkara ini juga mungkin boleh membuka ruang kepada pimpinan Barisan Nasional (BN) di Kedah untuk melihat peluang bekerjasama dengan PAS demi permuafakatan negara.

"Kalau PAS Kedah menghulurkan tangan kepada Umno, ini akan menjadi satu peluang baik," katanya.

Katanya, perbalahan itu juga menunjukkan tesis Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bulan lepas mengenai perpaduan dan keengganan beliau mengadakan perbincangan dengan Umno berkaitan negara perpaduan, gagal.

Mengenai kenyataan beberapa anggota Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang yang mendakwa Radio and Televisyen Malaysia (RTM) pilih kasih dalam penyiaran sesi soaljawab persidangan Dewan Rakyat semalam, Rais berkata beliau akan menyiasat perkara itu dan cuba memperbaiki kekurangan yang berlaku.

Beliau turut ditanya tentang kesan kemajuan dan populariti mendadak teknologi komunikasi internet seperti youtube, twitter dan blog masa kini, khasnya sebagai alat untuk menjejaskan imej seseorang.

Beliau menasihatkan mereka yang menjadi mangsa penyebaran maklumat yang tidak benar dan tohmahan agar mengambil tindakan undangundang terhadap mereka yang terlibat.

"Kita patut menghormati hak seseorang untuk memilih bentuk penulisan yang menjadi pilihan mereka. Tetapi jika penulis itu melanggar undang-undang, dia mesti bersedia untuk memikul tanggungjawab bagi apa yang ditulisnya," katanya.

Mengenai mesyuarat khas tertutup yang diadakan bersama 146 orang pegawai Jabatan Penerangan dari seluruh negara, Rais berkata beliau mahu mereka mencari idea dan pendekatan baru bagi mewujudkan satu sistem penerangan yang lebih mantap dan berkesan kepada semua lapisan rakyat.

Katanya, pegawai Penerangan juga dikehendaki menyalurkan masalah dan isu rakyat agar isuisu tersebut dapat dikaji dan dikemukakan kepada mesyuarat mingguan jemaah menteri supaya penyelesaian dapat dibuat. BERNAMA

Artikel Lain