suria

Wacana ilmiah: Khairy kata 'OK', DAP kecewa

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyambut baik keberanian Dewan Pemuda PAS yang mengajak agar diadakan wacana ilmiah sambil berharap ia akan membawa kepada kerjasama lebih bermakna antara kedua-dua parti kelak.

"Usaha-usaha yang diambil pada masa-masa lalu untuk mengadakan perbincangan antara PAS dan Umno di peringkat pusat telah terjejas kerana pendirian sekutu-sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat," kata Khairy ketika ditemui di lobi Parlimen.

"Adalah sesuatu yang signifikan mereka mengambil langkah ini," tambah Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Minggu lalu Pakatan Rakyat telah menolak idea perbincangan kerajaan perpaduan yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pagi tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menjemput Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Beliau menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Khairy juga berharap bahawa perbincangan antara kedua-dua parti berkenaan akan menjangkaui isu-isu berkaitan dengan Islam dan kaum Melayu.

Justeru jelas Khairy, beliau juga berharap akan menyertakan pembabitan Pemuda Barisan Nasional.

Malah kata Khairy juga berharap pertemuan dua sayap itu akan membawa kepada perbincangan antara pemimpin-pemimpin pusat kedua-dua parti jika ada keserasian antara Pemuda Umno dan PAS.

”Kita belumpun melalui pertemuan pertama kami, kita akan lihat dulu," katanya.

Kedua-dua parti akan mewujudkan satu sekretariat untuk menetapkan formatnya selepas pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan bulan ini.

DAP KECEWA

Sementara itu, DAP melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Dewan Pemuda PAS menjemput Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah itu yang didakwanya dilakukan tanpa mendapat persetujuan peringkat Pemuda Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke berkata, tindakan Pemuda PAS itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong Pakatan Rakyat memandangkan Pakatan secara jelas telah menolak sebarang perbincangan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Saya terkejut dengan wacana ini walaupun PAS mempunyai hak (untuk mengadakannya), sebagai rakan dalam Pakatan, hal ini tidak pernah ditimbulkan sebelum ini.

"Kita sudah tegaskan, kalau mahu berdebat, mengapa hanya melibatkan dua parti. Jika melibatkan Pakatan dan Barisan Nasional, kita alu-alukan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Nasrudin untuk meminta penjelasan, Loke berkata, ia akan dibangkitkan dalam mesyuarat Pemuda Pakatan minggu depan.

"Kita sepatutnya bermesyuarat pada Isnin lalu untuk berbincang mengenai penubuhan Pemuda Pakatan tetapi ia telah dibatalkan dan setahu saya oleh Nasrudin," katanya.

Artikel Lain