suria

Tujuh warga India dakwa dipukul, tak dibayar gaji

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki warga India semalam membuat laporan di Suruhanjaya Tinggi India di sini, mendakwa mereka dipukul dan tidak dibayar gaji oleh majikan mereka di Pulau Pinang sejak mula bekerja empat tahun lepas.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 28 tahun itu turut mendakwa tidak diberi cuti selain bekerja 12 jam sehari dan diberi masa hanya 10 minit untuk berehat makan.

Mereka yang diambil bekerja di sebuah salun rambut di Terubong, Ayer Hitam juga mendakwa majikan mereka tidak memperbaharui permit kerja mereka sejak dua tahun lalu.

Ketujuh-tujuh mereka yang nekad melarikan diri dengan menaiki bas ke ibu negara, membuat laporan yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, kira-kira pukul 6 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata polis akan menyiasat aduan berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Suruhanjaya Tinggi India di sini, seorang daripada pekerja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Padmanathan berasal dari Madurai mendakwa mereka sering dipukul apabila bertanyakan soal gaji dan levi yang tidak dibayar serta permit kerja mereka yang telah mati.

"Pada tahun pertama kami bekerja semuanya baik tetapi bila tahun kedua, imigresen memaklumkan pada kami bahawa levi kami tidak dibayar. Kami yang tidak tahu apa-apa terus bertanyakan pada majikan tetapi kami terus dipukul menggunakan kayu.

"Sejak dari itu setiap kali kami bertanya mengenai hal itu, kami tentunya akan dipukul, ditendang dan dicakar. Gaji kami berjumlah RM900 sebulan juga sudah tidak dibayar berbulan lamanya dan hanya menerima RM5 sahaja setiap hari untuk membeli makanan," katanya.

Katanya, sepanjang mereka bekerja dengan majikan itu hanya sekali sahaja diberi cuti iaitu pada Deepavali dan menurutnya mereka mengumpul wang makan untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur.

"Kami sendiri sanggup meminjam sebanyak RM8,500 (di India) sematamata untuk ke negara ini agar dapat mencari rezeki di sini. Kini kami hanya mahu pulang ke negara kami," katanya dengan sayu. BERNAMA

Artikel Lain