suria

Tiga ditahan sorok dadah dalam kotak kek

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat tempatan termasuk seorang wanita ditahan bersama dadah dianggarkan seberat 1kg bernilai RM100,000 yang disorok dalam sebuah kotak kek di Taman Midah, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata kumpulan berkenaan menyembunyikan Eramin 5 dan Ecstacy dalam kotak kek itu sebelum menyimpannya dalam but kereta.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 18 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam Ahad lepas apabila didapati dalam keadaan mencurigakan dalam kereta jenis Proton Waja, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap salah seorang suspek membawa kepada penemuan 80 biji pil seberat 22.34 gram dipercayai dadah jenis Eramin 5 dalam poket seluarnya.

"Bertindak atas penemuan dadah itu, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit polis turut menemui 3,250 biji pil Eramin 5 seberat 918.84 gram dan 1,240 pil Ecstacy dengan berat 405.1 gram yang disembunyikan dalam kotak kek itu.

"Kita sedang menyiasat punca dadah itu diperoleh dan kita tidak menolak kemungkinan besar dadah tersebut untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan sekitar ibu negara," katanya.

Ahmad Amir berkata polis turut menemui sejumlah ramuan untuk membuat pil Ecstacy dalam kereta itu yang pernah dilaporkan hilang di Putrajaya pada 26 Feb lepas.

Katanya ketiga-tiga suspek yang juga penganggur turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Kita percaya kesemua suspek yang berasal dari Perak itu datang dari Genting Highlands, Pahang dan singgah di bandar raya ini untuk mengedar dadah," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Lain