suria

Tiada rancangan perkenal pakej rangsangan - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tiada rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan pakej rangsangan ketiga kerana Malaysia mahu mengelakkan keadaan terpaksa mengalami defisit fiskal yang tinggi.

Perdana Menteri berkata kerajaan sehingga ini telah memperkenalkan dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion yang dilancarkan pada Mac tahun ini direka bentuk bagi meliputi tempoh dua tahun. Pakej pertama bernilai RM7 bilion diperkenalkan pada November tahun lepas.

"Saya cuba mengelakkan (untuk memperkenalkan) pekaj rangsangan ketiga. Ini mendedahkan risiko (defisit fiskal yang lebih tinggi) jika kami perkenalkan pakej ketiga."

"Tetapi, jika ada cara lain kami boleh merangsang lagi ekonomi kami, saya bersikap terbuka untuk mendengarnya, jika perlu.

Kami memantau dengan teliti defisit fiskal," katanya dalam temubual dengan CNBC, rangkaian televisyen berita kewangan yang dikeudarakan melalui rangkaian 518 Astro pagi ini.

Beliau menjawab soalan mengenai sama ada Malaysia akan memperkenalkan satu pakej rangsangan ketiga jika ekonomi global dan Malaysia mengalami kemelesetan pada lewat tahun ini.

Bagaimana pun, jika diperkenalkan pakej ketiga, dananya perlu diperolehi dari kecairan di dalam pasaran dan bukan dari akaun kerajaan, katanya.

Semasa ditanya sama ada akan dilakukan penilaian menurun seterusnya pertumbuhan ekonomi Malaysia, Najib berkata ia bergantung kepada bagaimana pakej rangsangan itu menunjukkan prestasinya.

"Jadi, jika pakej rangsangan itu menunjukkan prestasi yang baik, kami (Malaysia) sepatutnya berada pada landasan untuk mencapai penguncupan 4.0 hingga 5.0 peratus seperti yang kami ramalkan," katanya.

Pada separuh kedua tahun ini, katanya ekonomi boleh menyaksikan peningkatan pelaksanaan (pakej) itu dan dananya sedang diagihkan.

Pada Mei, kerajaan telah mengumumkan bahawa ekonomi akan menguncup antara 4.0 dan 5.0 peratus pada tahun ini.

Menjawab soalan lain, Najib berkata kerajaan tiada rancangan untuk mengantarabangsakan ringgit memandangkan pembabitan risiko.

"Kami telah mempelajari pelajaran yang memedihkan dari Krisis Kewangan Asia pada 1997/98."

Katanya tiada permintaan untuk berbuat demikian (bagi mengantarabangsakan ringgit) kerana ringgit kini boleh ditukar di manamana sahaja.

"Kami tidak mahu memanipulasi pasaran. Biarkan ringgit mencari nilai sebenarnya. Itu telah menjadi dasar kami dan kami akan mengekalkan dasar kami," katanya.

Ringgit dibuka pada paras 3.52 berbanding dolar AS pada pagi ini, daripada 3.51 semalam. BERNAMA

Artikel Lain